Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan arahan panggil balik ke atas produk berdaftar Kin Foong San (Medicinal Powder) 4gm (MAL19972851T) bernombor kelompok VG05035. Ini berikutan analisa ke atas sampel produk dari pasaran mendapati ianya mengandungi paras logam berat merkuri dan kadmium melebihi tahap yang dibenarkan.
Susulan itu, pihak syarikat telah memutuskan untuk memanggil balik secara sukarela kesemua kelompok lain produk tersebut dari pasaran untuk penyiasatan lanjut. Kelompok-kelompok lain yang terlibat ialah VG05036, VG05037, VG05038, VG05039, VG05040 dan VG05041.
Nama Produk (No Pendaftaran) | Nombor Kelompok Dipanggil Balik | Pemegang Pendaftaran/ Pengilang |
Kin Foong San (MedicinalPowder) 4gm (MAL19972851T) |
VG05035 VG05036 VG05037 VG05038 VG05039 VG05040 VG05041 |
Vita Green Health Products |
Produk Kin Foong San (Medicinal Powder) 4gm digunakan secara tradisional untuk bayi dan kanak-kanak antara lain bagi melegakan demam, batuk, sakit gigi dan sakit perut.
Pencemaran produk dengan kandungan merkuri dalam kuantiti berlebihan boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang, gangguan pada sistem saraf dan perkembangan otak. Manakala, produk yang tercemar dengan kandungan kadmium yang tinggi boleh memudaratkan terutamanya kepada buah pinggang dan tulang.
Pengguna diminta supaya berhenti serta-merta daripada menggunakan produk Kin Foong San (Medicinal Powder) 4gm dengan nombor-nombor kelompok terlibat dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Pengguna juga dinasihatkan untuk memulangkan produk terlibat kepada penjual dan boleh menghubungi pihak syarikat di talian 03-6192 1888 atau email kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. untuk pertanyaan.
Orang awam digalakkan untuk menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.