NPRA Banner

               
Product Search   QUEST3+ System   Enquiries   Sitemap  

OXYELITE PRO: Amaran Kepada Orang Awam Mengenai Pengambilan Produk Tidak Berdaftar

User Rating: 4 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Inactive
 

Date : 12 December 2013

Amaran Kepada Orang Awam Mengenai Pengambilan Produk Tidak Berdaftar ‘OXYELITE PRO'

oxyelite pro cover page

 

 

1. Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengingatkan orang awam berkaitan dengan PRODUK TIDAK BERDAFTAR yang yang dilabel dengan nama ‘OXYELITE PRO’.

PERIHAL PRODUK DAN KESAN ADVERS YANG DILAPORKAN

2. Pusat Pemonitoran Keselamatan Ubat, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) ingin memaklumkan kepada orang awam berkaitan produk OxyElite Pro yang telah dikenal pasti tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Produk ini telah dipasarkan melalui internet sebagai makanan tambahan dan juga pembakar lemak bagi mengurangkan berat badan.

3. Melalui carian di internet, terdapat beberapa laman sesawang yang menjual produk ini. Semakan label juga dijalankan di mana kandungan produk ini adalah bahan herba. Namun begitu, terdapat satu (1) herba yang dikelaskan sebagai racun berjadual di dalam Akta Racun, 1952 iaitu Yohimbine disenaraikan sebagai bahan di dalam produk ini.

4. Produk ini juga dikaitkan dengan kesan advers kecederaan hati akut yang serius dibeberapa negara. Pihak US Food and Drug Administration (US FDA) telah mengumumkan terdapat 24 laporan kesan advers kecederaan hati akut yang dikaitkan dengan penggunaan produk ini. Kesan advers yang sama juga dilaporkan berlaku di Ireland dan Hong Kong. Berikutan laporan kesan advers ini, pihak US FDA dan Food Safety Authority Ireland (FSAI) telah mengarahkan produk ini ditarik balik dari pasaran. Sehingga kini, pihak BPFK tidak pernah menerima laporan kesan advers atau aduan yang dikaitkan dengan penggunaan produk ini.

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL

5. Yohimbine merupakan salah satu alkaloid yang boleh dijumpai di dalam tumbuhan Pausinystalia yohimbe. Bergantung kepada dos bahan ini, ia boleh mengakibatkan peningkatan tekanan darah dan juga boleh menyebabkan penurunan tekanan darah yang mendadak sekiranya diambil secara berlebihan.

6. Kesan advers lain yang dikaitkan dengan pengambilan yohimbine adalah insomnia, keresahan, rasa berdebar, sakit dada, peluh berlebihan, pandangan menjadi kabur dan tekanan darah tinggi. Sekiranya bahan ini diambil melebihi dos, selain boleh mengakibatkan penurunan tekanan darah secara mendadak, ia juga akan menyebabkan jantung berdegup pantas, sawan, paralisis, koma yang seterusnya boleh mengakibatkan kematian.

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK INI

7. Sesiapa yang mempunyai stok produk tidak berdaftar ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan untuk jualan produk-produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

8. Orang awam yang sedang menggunakan OxyElite Pro termasuk keluaran lain yang menggunakan nama produk yang sama ini adalah dinasihatkan supaya menghentikan pengambilan produk ini dengan serta merta. Orang awam perlu segera mendapatkan nasihat dan rawatan dari profesional kesihatan sekiranya mendapat simptom seperti demam, lemah badan, tiada selera makan, loya, muntah, sakit di bahagian abdomen dan jaundis.

9. Orang awam digesa supaya tidak membeli atau menggunakan produk-produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kerana tidak dijamin kualiti dan keselamatannya. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak berdaftar ini dinasihatkan supaya dapat menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-78413200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. bagi menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membenteras pengedaran produk ini di pasaran.

10. Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di talian 03-78835400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my.



Dato’ Eisah A. Rahman
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia

 

National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA)

Lot 36, Jalan Universiti (Jalan Prof Diraja Ungku Aziz), 46200 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

  • Phone: +603-7883 5400

 

 

DISCLAIMER

The Government of Malaysia and the National Pharmaceutical Regulatory Agency are not responsible for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.

Site Last Modified

  • Last Modified: Tuesday 15 October 2024, 10:03:05.

Search

Main Menu English