Date : 19 March 2014
KENYATAAN AKHBAR
PENGGUNA DINASIHATKAN UNTUK MENGELAKKAN DARI MENGGUNA PRODUK KOSMETIK YANG DIKESAN MENGANDUNGI RACUN BERJADUAL
Orang awam dinasihatkan untuk mengelakkan daripada membeli dan mengguna produk kosmetik berikut:
Bil. | Gambar Produk | Nama Produk | Nombor Notifikasi | Racun Berjadual Yang Dikesan | Nama Pemegang Notifikasi | Nama Pengilang |
1. | AS Beauty Night Cream | NOT101103172K | Merkuri | ZMN Mahaka Enterprise | Penawar Industries Sdn. Bhd. | |
2. | AS Beauty Day Cream | NOT101103272K | Merkuri | ZMN Mahaka Enterprise | Penawar Industries Sdn. Bhd. | |
3. | Golden Horse Herbal Milk Lotion – GH507 | NOT120905457K | Merkuri | Chee Sing (Labuan) Sdn. Bhd. | Chin San Chemical Works, Taiwan | |
4. | Golden Horse Bio Complex Cream – GH903-2 | NOT120905465K | Merkuri | Chee Sing (Labuan) Sdn. Bhd. | Chin San Chemical Works, Taiwan |
Produk kosmetik di atas telah diuji dan dikesan mengandungi logam berat merkuri yang tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik. Oleh itu, produk tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit dan rawatan anti penuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan adalah tidak dibenarkan dan boleh memudaratkan kesihatan. Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu. Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Pihak syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk berkenaan telah diarahkan untuk memberhentikan penjualan/pembekalan dengan serta merta dan memanggilbalik kesemua stok fizikal produk tersebut daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.
Sesiapa yang mempunyai stok produk di atas dinasihatkan menghentikan penjualan/ pengedaran/ penggunaan produk tersebut dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan produk-produk ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Pengguna adalah dinasihatkan untuk menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di talian 03-78835532/5533/5537 jika mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan buruk akibat daripada penggunaan produk-produk kosmetik.
DATO’ EISAH BINTI A. RAHMAN
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia
24 Februari 2014